Kemajuan Teknologi Alat Audio Visual Dedikasi Untuk Perubahan Positif Ke Arah Pemuliharaan Hutan. | INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
» ARTIKEL » Kemajuan Teknologi Alat Audio Visual Dedikasi untuk Perubahan Positif Ke Arah Pemuliharaan Hutan.

Kemajuan Teknologi Alat Audio Visual Dedikasi untuk Perubahan Positif Ke Arah Pemuliharaan Hutan.

Mark Lee See Teck and Chin Kit Ling*

 

Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Malaysia

 

*c_kitling@upm.edu.my 

 

Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat teknologi canggih yang kita alami sekarang telah membawa kepada kemudahan yang tidak dapat dibayangkan. Akan tetapi, tanpa disedari kemajuan pesat ini telah membawa kepada situasi persekitaran yang semakin merosot, di mana salah satunya masalah negatif penebangan hutan. Walaupun telah menjadi topik perbahasan harian, masih ramai yang tidak mempunyai kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan. Kebanyakan pihak tidak menyedari bahawa tindakan harian mereka yang menyebabkan kemudaratan terhadap alam sekitar.


Sejak penciptaan televisyen pada tahun 1920-an, ia berfungsi sebagai objek eksperimen sebelum diperkenalkan dan dipasarkan sebagai produk pengguna [1]. Permulaan inovasinya di makmal dengan hanya gambar hitam putih telah mendapat kedudukan tinggi sebagai produk keperluan di kebanyakan isi rumah dengan visual definisi tinggi dan sistem bunyi keliling. Dengan itu, ia berfungsi sebagai alat komunikasi berguna untuk penghantaran mesej penting bagi memberitahu, memasar, menghibur dan mendidik penggunanya melalui skrin paparan. Sehingga hari ini, pengguna telah diperkenalkan dengan lebih banyak jenis alat audiovisual selain daripada televisyen.

Peralihan teknologi dalam alat audiovisual.

Aktivis alam sekitar telah lama menyuarakan suara mereka terhadap isu yang memudaratkan alam sekitar oleh segolongan sektor industri sedang membangun yang membawa kepada masalah penebangan hutan dan menyebabkan bencana buatan manusia yang dapat dihindari jika peraturan diperketatkan dan dipatuhi. Selain itu, terdapat banyak pembuat filem yang berkepentingan dalam isu penebangan hutan sentiasa menghasilkan filem dari pelbagai genre yang berkenaan topik ini. Melalui kemajuan sistem teknologi, mesej dari isu kemudaratan alam sekitar kepada peranan masing-masing dalam pemeliharaan hutan dapat disampaikan dan didengar secara global.

Kajian yang dilakukan beberapa tahun kebelakangan ini, telah membuktikan bahawa orang ramai lebih berminat dan bertindak balas terhadap mesej yang disampaikan melalui penggunaan alat audiovisual berbanding dengan interpretasi lisan sahaja [2-10]. Alat audiovisual membantu kita untuk berinteraksi dengan mesej melalui perubahan gambar dan suara yang berterusan. Ini membolehkan memori dikod dalam lobus temporal medial otak yang menyebabkan pemprosesan emosi di mana secara beransur-ansur akan menyebabkan perubahan sikap pada seseorang [7]. Penyelidikan juga membuktikan bahawa 65% orang belajar dengan lebih cepat melalui alat audiovisual berbanding dengan penyampaian lisan sahaja [11]. Oleh itu, semakin banyak filem yang tersirat dengan kandungan yang mendorong penontonnya ke arah kaedah pemuliharaan hutan dihasilkan.

Pembuat filem bersama-sama dengan pakar sains menggunakan kekuatan sains, penerokaan, pendidikan dan penyampaian cerita untuk melindungi  hutan yang merangkami 30% permukaan tanah bumi kita di sewaktu ketika. Oleh itu, kandungan cerita disiratkan dengan faktor-faktor ketakutan, dorongan, sebab dan akibat untuk mengubah sikap penonton ke arah pemuliharaan hutan secara beransur-ansur. Selain itu, kemajuan alat audiovisual membolehkan kita merasai dan bersatu dengan alam sekitar di depan skrin paparan sahaja. Dengan jumlah kesedaran yang meningkat di kalangan pihak berkepentingan, banyak institusi telah menganjurkan festival filem alam sekitar untuk mendorong dan menyediakan platform yang lebih kredibel untuk pembuat filem bagi perkongsian dan penyampaian mesej keprihatinan mereka mengenai perkara ini secara global.

 

Pelbagai festival filem yang dianjurkan untuk mengembangkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan hutan dan alam sekitar melalui kekuatan filem.

 

REFERENCES

[1] Burt, J. (2002). Animals in Film. London: Reaktion Books Ltd.

[2] Bouse, D. (2000). Wildlife Films. Philadelphia: University of Pennsylvania Press.

[3] Lindenfeld, L. (2010). Can documentary food films like Food Inc. achieve their promise? Environmental Communication, 4(3), 378–386.

[4] Jacobsen, G. D. (2011). The Al Gore effect: An Inconvenient Truth and voluntary carbon offsets. Journal of Environmental Economics and Management, 61(1), 67–78.

[5] Arendt, F., & Matthes, J. (2014). Nature documentaries, connectedness to nature, and pro-environmental behavior. Environmental Communication, 10(4), 453–472. https://doi.org/https://doi.org/10.1080/17524032.2014.993415

[6] Soga, M., Gaston, K. J., Yamaura, Y., Kurisu, K., & Hanaki, K. (2016). Both direct and vicarious experiences of nature affect children’s willingness to conserve biodiversity. International Journal of Environmental Research and Public Health, 13, 529.

[7] Howell, R. A. (2014). Investigating the long-term impacts of climate change communications on individuals’ attitudes and behavior. Environment and Behavior, 46(1), 70–101.

[8] Hofman, K., & Hughes, K. (2017). Protecting the Great Barrier Reef: analysing the impact of a conservation documentary and post-viewing strategies on long-term conservation behaviour. Environmental Education Research, 24(4), 521–536.

[9] Griffin, L. N. (2017). Audience reactions to climate change and science in disaster cli-fi films : a qualitative analysis. Journal of Public Interest Communications, 1(2), 133–152.

[10] Silk, M. J., Crowley, S. L., Woodhead, A. J., & Nuno, A. (2018). Considering connections between Hollywood and biodiversity conservation. Conservation Biology, 32(3), 597–606.

[11] Bradford, W. C. (2004). Reaching the Visual Learner: Teaching Property Through Art . The Law Teacher, 11, 1-5.

 

Tarikh Input: 08/07/2020 | Kemaskini: 08/07/2020 | m_hambali

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691880
0397691896
B1603489424