Kumpulan Penyelidik BIOREM Menjalankan Inventori Hutan Gelam Di Setiu | INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
» BERITA » Kumpulan Penyelidik BIOREM Menjalankan Inventori Hutan Gelam di Setiu

Kumpulan Penyelidik BIOREM Menjalankan Inventori Hutan Gelam di Setiu

  

SETIU, 25 SEPTEMBER 2020 - Seluas kira-kira 1.4 ha kawasan hutan gelam telah dipilih untuk menjalankan inventori pokok yang merupakan salah satu aktiviti projek penyelidikan bertajuk ‘Kajian Penilaian Ekonomi Keseluruhan Hutan Gelam di Hutan Bencah Setiu, Terengganu’. Kawasan inventori yang dijalankan merangkumi Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Beris Tokku dan Lembah Bidong. Pasukan inventori diketuai oleh En Mohd. Hambali, Pegawai Pertanian, dibantu oleh En. Hasnan Mat Isa, Penolong Pemelihara Hutan dan 3 orang Enumerator iaitu Dr. Johar, Amir dan Zulkifli. Aktiviti inventori ini telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan inventori pokok dan kumpulan pensampelan tanah.

Aktiviti inventori dimulakan dengan membuat plot berbentuk bulatan dengan 10 m jejari. Kerja-kerja membuat plot adalah dilakukan oleh kumpulan inventori pokok dengan menarik tali yang telah diukur 10 m panjang hingga ke hujung tali daripada pusat bulatan yang ditanda dengan pancang. Seterusnya, hujung tali ditandakan dengan reben pada pokok atau pancang sebagai tanda sempadan plot. Sekurang–kurangnya sebanyak 8 tanda sempadan dibuat bagi setiap plot. Kumpulan inventori pokok perlu membuat kerja-kerja pengukuran seperti diameter at breast height (DBH) dengan menggunakan diameter tape dan mengukur tinggi pokok dengan menggunakan range finder. Manakala kumpulan pensampelan tanah perlu mengambil sampel tanah dengan menggunakan auger dan soil probe. 2 sampel tanah perlu diambil bagi setiap plot di mana setiap sampel mewakili kedalaman tanah yang berbeza iaitu 15 cm dan 30 cm. Setiap sampel tanah diambil di lima kawasan berbeza secara rawak di dalam plot. Selain itu, penandaan GPS juga diambil untuk setiap plot bagi tujuan pemetaan kawasan inventori dan kerja-kerja inventori pokok dan pensampelan tanah dijalankan secara serentak sehingga selesai. Sejumlah 43 plot telah dibangunkan sebagai sampel inventori hutan gelam dengan mengambil masa selama 4 hari berturut-turut bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari.

  

Tujuan inventori ini dibuat adalah bagi mendapatkan data bagi penilaian ekosistem di kawasan pertumbuhan hutan gelam, pengiraan isipadu dirian, pengiraan biojisim dan karbon. Memandangkan kawasan yang telah dibuat inventori hanya rata-ratanya ditumbuhi pokok gelam, semestinya ianya unik dan mempunyai kepentingan yang tersendiri dimana apabila tumbuhan lain tidak tumbuh dengan subur, pokok gelam yang akan mendominasi.

    

Tarikh Input: 04/11/2020 | Kemaskini: 05/11/2020 | m_hambali

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691880
0397691896
SXDdBAT~