Penyelidik INTROP Berjaya Menghasilkan Baju Kalis Peluru Berasaskan Bahagian Kelapa | INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
» BERITA » Penyelidik INTROP berjaya menghasilkan baju kalis peluru berasaskan bahagian kelapa

Penyelidik INTROP berjaya menghasilkan baju kalis peluru berasaskan bahagian kelapa

SERDANG: Satu lagi kejayaan daripada salah seorang penyelidik Laboratori Teknologi Biokomposit, INTROP iaitu Dr. Mohammad Jawaid yang telah berjaya menghasilkan perisai pelbagai lapisan (multilayer armour) atau baju kalis peluru yang berasaskan bahan semulajadi daripada bahagian pangkal pelepah pokok kelapa, cocos nucifera sheath (CNS). Menurut Dr. Mohammad Jawaid yang mengetuai kumpulan penyelidik ini, bahan ini mempunyai kapasiti untuk menggantikan bahan sedia ada yang digunakan pada baju kalis peluru pada masa ini iaitu fabrik Kevlar dan melalui kajian mereka mendapati bahan ini tidak menjejaskan prestasi balistik baju kalis peluru tersebut.

 

Inovasi yang boleh digunakan pada baju kalis peluru ini dikenali dengan nama Techno Economic Hard Body Armour dan telah pun memenuhi spesifikasi keperluan piawaian National Institute of Justice (NIJ) tahap III. Melalui ujian balistik yang dijalankan di Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Selangor, kajian mereka mendapati kedalaman ukuran trauma (ballistic blunt trauma measurement) pada baju kalis peluru berasaskan CNS adalah 26.51mm, yang juga lebih rendah daripada had maksimum (Blunt trauma limit) 44mm yang dibenarkan mengikut piawaian NIJ. Ujian balistik ini dilaksanakan mengguna pakai peluru 7.62mm kaliber sebagai peluncur tenaga kinetik dari jarak 15-meter dengan halaju tembakan 838±15m/s.

Beliau juga menjelaskan beberapa kebaikan menggunakan Techno Economic Hard Body Armour dan antaranya ialah bahan ini lebih murah berbanding fabrik Kevlar atau aramid yang digunakan sebagai lapisan kedua dalam baju kalis peluru. Selain itu, fabrik kevlar dan aramid adalah sintetik dan boleh mencemarkan alam sekitar dalam jangka masa panjang melalui sifat bukan-biodegradasi. Penggunaan fabrik aramid dan kevlar dengan kapasiti yang banyak dan tebal pada baju kalis peluru monolitik juga mengganggu pergerakan dan keselesaan pemakai.

Menurut beliau lagi, objektif utama inovasi ini adalah bagi melihat keupayaan bahan semulajadi CNS/epoxy composite yang lebih mudah diperolehi dan mesra alam bagi menggantikan fabrik aramid dan kevlar tanpa menjejaskan prestasi balistik.

Kumpulan Penyelidik ini terdiri daripada pelajar PhD, Jesu Arockiam Navreen, Prof. Madya Dr. Edi Syams Zainudin, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan (semua dari UPM) dan Dr. Ridwan Yahaya dari STRIDE. - UPM

 

Dr. Mohammad Jawaid

Felo Penyelidik (Kanan)

Laboratori Teknologi Biokomposit

Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP)

Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 24/08/2020 | Kemaskini: 04/09/2020 | lufti

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691880
0397691896
SXEUOAo~