SERDANG, Jun 2026 – Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah berjaya menganjurkan Program Pengenalan 3D Printer pada 10 dan 11 Jun 2026 di Bilik Latihan Robusta, Laboratori Teknologi Biokomposit. Program yang dijalankan selama dua hari ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran seramai 20 orang peserta, iaitu 10 orang bagi setiap sesi, yang terdiri daripada pelajar, penyelidik, pensyarah dan wakil industri.
Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada asas teknologi percetakan 3D melalui gabungan sesi teori dan latihan amali. Peserta berpeluang mempelajari keseluruhan proses pengendalian pencetak 3D bermula daripada penyediaan reka bentuk menggunakan perisian CAD, proses slicing, mengimport fail ke pencetak, proses percetakan (printing), sehinggalah kepada kerja-kerja kemasan akhir (finishing). Selain itu, setiap peserta turut berjaya mencetak komponen yang direka sendiri, sekali gus memberikan pengalaman pembelajaran secara hands-on dalam mengendalikan teknologi percetakan 3D.
Sebagai penghargaan atas penyertaan mereka, setiap peserta menerima cenderamata keychain bercetak 3D yang dihasilkan dengan nama peserta diintegrasikan pada reka bentuk. Cenderamata tersebut bukan sahaja menjadi kenangan program, malah mempamerkan keupayaan teknologi percetakan 3D dalam menghasilkan produk yang diperibadikan (personalized).
Secara keseluruhannya, program ini telah menerima maklum balas yang amat positif daripada semua peserta. Mereka menyatakan bahawa program ini berjaya meningkatkan kefahaman mengenai operasi asas pencetak 3D serta memberi keyakinan untuk mengendalikan keseluruhan aliran kerja percetakan 3D secara kendiri. Penganjuran program ini juga berjaya mempromosikan perkhidmatan percetakan 3D yang ditawarkan oleh Laboratori Teknologi Biokomposit, di samping menyokong usaha memperkukuh inovasi, kreativiti dan penjanaan pendapatan melalui penghasilan produk berasaskan teknologi percetakan 3D. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi INTROP dan Universiti Putra Malaysia dalam memperkasakan pembangunan bakat serta penguasaan teknologi selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.
Tarikh Input: 02/07/2026 | Kemaskini: 02/07/2026 | amallina.osman

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia