30 Mei 2025 - Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan kerjasama Leave a Nest, telah menganjurkan Deep Tech Tour: Industry-Research Collaboration yang berlangsung di Bilik Seminar Arenga, INTROP. Majlis ini berfungsi sebagai platform dinamik untuk mempamerkan inovasi terkini serta memupuk kerjasama bermakna antara industri dan institusi akademik. Dengan inisiatif strategik oleh Leave a Nest bersama INTROP sebagai tuan rumah dan fasilitator kepada jalinan ini, program ini menghimpunkan barisan syarikat teknologi mendalam (deep-tech) dari Jepun dan Asia Tenggara untuk berinteraksi dengan penyelidik UPM dan meneroka peluang kerjasama.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Prof. Ir. Ts. Dr. Khalina Abdan FASc, Pengarah INTROP, yang menekankan kepentingan menjalin hubungan antara penyelidikan dan industri dalam memacu inovasi yang memberi impak nyata. Beliau menggalakkan para peserta untuk berhubung, bertukar pandangan dan meneroka peluang kerjasama yang berpotensi menghasilkan pembangunan transformatif.
Sesi diteruskan dengan pembentangan oleh syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa yang komited terhadap kelestarian dan pengkomersialan hasil penyelidikan. Leave a Nest, yang diasaskan oleh Dr. Yukihiro Maru, memperkenalkan misinya untuk menghubungkan sains dengan masyarakat melalui platform seperti TECH PLANTER dan Center of Garage. JT (D-LAB), sebuah bahagian di bawah Japan Tobacco Inc., membentangkan inisiatif mereka dalam membimbing saintis menjadi usahawan di seluruh Asia Tenggara. ARK Worldwide mempamerkan sistem akuakultur darat yang lestari bagi mengurangkan tekanan terhadap ekosistem marin, manakala Nitto Denko mengetengahkan kemajuan dalam kesihatan digital, teknologi membran dan bahan mesra alam. Kyowa Leather Cloth pula mempersembahkan kerja mereka dalam penghasilan kulit tiruan lestari menggunakan bahan kitar semula dan berasaskan bio, manakala PNH Group membincangkan penyelesaian ekonomi kitaran mereka dengan menukar sisa kopi kepada bioplastik dan biochar. Mewakili Malaysia, ACeT Innovates membentangkan produk bioteknologi mereka iaitu enzim untuk proses pengasingan gentian tumbuhan dan baja bio untuk mengatasi penyakit tanaman pisang, yang menyokong pertanian lestari.
Majlis ini menyerlahkan persamaan tema seperti kelestarian, inovasi berasaskan penyelidikan dan kerjasama antarabangsa. Kebanyakan pembentang menyatakan minat yang tinggi untuk bekerjasama dengan institusi Malaysia bagi mengaptasi teknologi mereka dan bersama-sama membangunkan penyelesaian yang memberi impak. Dengan penyelarasan bijak oleh Leave a Nest dan sokongan kukuh serta fasilitasi oleh INTROP, Deep Tech Tour berjaya menghubungkan bidang sains dan keusahawanan, sekali gus mengukuhkan peranan UPM sebagai hab inovasi terkemuka di rantau ini.


Tarikh Input: 03/06/2025 | Kemaskini: 03/06/2025 | amallina.osman

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia