SERDANG, 6 Julai 2026 – Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menganjurkan Latihan Pertolongan Cemas Pekerjaan, Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan Penggunaan Automated External Defibrillator (AED) yang berlangsung di INTROP dengan penyertaan semua staf INTROP.
Latihan ini dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran asas dalam pertolongan cemas, pelaksanaan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) serta penggunaan Automated External Defibrillator (AED). Program ini bertujuan memastikan warga INTROP bersedia memberikan tindakan awal yang tepat dan berkesan ketika berlakunya situasi kecemasan sebelum ketibaan pasukan perubatan.
Sepanjang latihan, para peserta mengikuti sesi pembelajaran yang merangkumi gabungan teori dan latihan praktikal. Program dimulakan dengan pengenalan kepada asas pertolongan cemas sebelum diteruskan dengan latihan CPR bagi mangsa dewasa, kanak-kanak dan bayi. Peserta turut didedahkan kepada kaedah pengendalian dan penggunaan AED, pertimbangan khas semasa penggunaan peranti tersebut serta teknik meletakkan mangsa dalam posisi pemulihan (recovery position).
Pada sesi sebelah petang, latihan diteruskan dengan topik rawatan kes tercekik yang melibatkan mangsa dewasa, kanak-kanak dan bayi. Peserta juga mempelajari teknik pengendalian pelbagai jenis kecederaan seperti luka luaran, kepatahan tangan dan bahu serta rawatan awal bagi kes lecuran. Program diakhiri dengan demonstrasi dan latihan praktikal yang memberi peluang kepada setiap peserta mempraktikkan kemahiran yang dipelajari dalam situasi kecemasan yang disimulasikan.
Secara keseluruhannya, latihan ini telah mendapat sambutan dan maklum balas yang amat positif daripada warga INTROP. Para peserta menyatakan bahawa latihan ini berjaya meningkatkan keyakinan dan kecekapan mereka dalam memberikan bantuan kecemasan awal, khususnya dalam melaksanakan CPR dan mengendalikan AED dengan betul. Penganjuran program ini juga membuktikan komitmen Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan INTROP dalam membudayakan amalan keselamatan di tempat kerja serta memperkukuh tahap kesiapsiagaan warga institut dalam menghadapi sebarang insiden kecemasan. Inisiatif ini selaras dengan usaha Universiti Putra Malaysia untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif bagi seluruh warganya.
Tarikh Input: 08/07/2026 | Kemaskini: 08/07/2026 | amallina.osman

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia