INTROP UPM Perkasa Kelestarian Hutan Melalui Program Pemindahan Ilmu Di Sungai Siput, Perak | INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN introp
» BERITA » INTROP UPM Perkasa Kelestarian Hutan Melalui Program Pemindahan Ilmu di Sungai Siput, Perak

INTROP UPM Perkasa Kelestarian Hutan Melalui Program Pemindahan Ilmu di Sungai Siput, Perak

Sungai Siput, Perak, 28 Januari 2026 – Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menganjurkan Program Pemindahan Ilmu kepada Komuniti yang memfokuskan kepada pengurusan nurseri dan penanaman pokok hutan secara sistematik. Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 Januari 2026 telah diadakan di Korbu Perak Arboretum & Rainforest Centre (KPARC) dengan melibatkan kerjasama strategik bersama pihak Rymba (Stream Capital Sdn. Bhd.) serta komuniti Forest Tree Society.

 

Inisiatif ini bermatlamat untuk menyalurkan kepakaran akademik dan hasil penyelidikan terkini terus kepada pihak berkepentingan industri dan penduduk setempat. Melalui pengisian yang dirangka rapi, program ini menekankan kepentingan pengurusan hutan yang mampan, bermula daripada peringkat awal di tapak semaian sehinggalah kepada teknikal inventori di lapangan bagi memastikan ekosistem hutan terpelihara dengan lebih saintifik.

 

 

 

Pada hari pertama, tumpuan diberikan kepada aspek pengurusan tapak semaian. Dalam sesi tersebut, para peserta yang terdiri daripada wakil Forest Tree Society, Rymba dan ahli komuniti telah didedahkan dengan teknik pengecaman spesies pokok serta kaedah penjagaan bahan tanaman yang efektif. Penekanan terhadap aspek praktikal ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran peserta dalam memastikan kualiti anak benih hutan berada pada tahap terbaik sebelum proses penanaman dilakukan.

 

Agenda diteruskan pada hari kedua dengan memberi fokus kepada inventori hutan di lapangan. Sesi ini merangkumi penerangan teori dan latihan praktikal berkaitan teknik inventori hutan, termasuk penetapan kawasan kajian, pembinaan sempadan plot inventori dan pengukuran diameter, dan ketinggian pokok.

 

Secara keseluruhannya, program ini berjaya memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, industri dan komuniti setempat, di samping menyumbang kepada pemindahan ilmu berasaskan penyelidikan terkini dalam bidang inventori hutan dan pengurusan tapak semaian secara mampan. Inisiatif seumpama ini turut menyokong pembangunan kapasiti pihak berkepentingan dalam memastikan pemuliharaan sumber hutan, pengurusan biodiversiti serta kelestarian ekosistem hutan untuk generasi masa hadapan.

 

 

Tarikh Input: 19/02/2026 | Kemaskini: 19/02/2026 | amallina.osman

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691880
0397691896
X, (12:22:46am-12:27:46am, 30 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]