Serdang, 14–15 Mei 2025 – Kursus Asas Pengenalan Tanaman Menggunakan Teknik Kultur Tisu telah berjaya dianjurkan selama dua hari, iaitu pada 14 hingga 15 Mei 2025. Kursus ini merupakan salah satu inisiatif dibawah Laboratori Pengurusan Biosumber Mampan (BIOREM). Kursus ini dirangka selaras dengan keperluan Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) Fasa II dalam bidang tujah bahan terbitan kayu tropika oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).
Kultur tisu tumbuhan merupakan teknik pembiakan secara in-vitro yang menghasilkan anak benih yang seragam dan seiras dengan pokok induk. Keseragaman ini amat penting dalam pengurusan sistem pengeluaran tanaman bagi memastikan pertumbuhan pokok berlaku secara konsisten dan matang dalam tempoh yang hampir sama.

Objektif utama kursus ini adalah untuk memberi latihan teknik asas kultur tisu tumbuhan secara praktikal kepada masyarakat terutama usahawan pertanian, agensi kerajaan, agensi swasta, universiti awam, universiti swasta dan masyarakat yang berminat untuk menceburi bidang bioteknologi tumbuhan. Di samping itu, kursus ini juga menjadi platform penting untuk mendekatkan hubungan antara universiti dan masyarakat serta memperkukuh jaringan kerjasama antara komuniti dan industri, khususnya dalam bidang pertanian.
Antara keistimewaan kursus ini adalah pendekatan praktikal yang digunakan. Peserta didedahkan dengan teknik asas dalam penyediaan formulasi pensterilan tumbuhan dan proses aklimatisasi — dua komponen penting dalam pembiakan tumbuhan secara in-vitro. Selain itu, peserta turut dilatih dalam penyediaan media kultur, teknik subkultur, serta pemindahan anak pokok kultur tisu daripada botol kaca ke polibeg. Bagi melengkapkan pemahaman, peserta juga menghadiri sesi kuliah teori berkaitan pengenalan asas kultur tisu tumbuhan.
Seiring dengan aspirasi universiti untuk memperkasa sektor pertanian negara serta mengambil kira permintaan yang semakin meningkat daripada masyarakat, kursus ini dirancang untuk diteruskan secara tahunan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kursus Kultur Tisu Tumbuhan, sila hubungi:
Puan Siti Nurulhuda Ahmad Tarmidzi di talian 03-9769 1886 atau melalui e-mel nurulhuda.tarmidzi@upm.edu.my, atau Puan Intan Suraya Ibrahim di e-mel intan_suraya@upm.edu.my.

Tarikh Input: 27/05/2025 | Kemaskini: 27/05/2025 | amallina.osman

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia