Penganjuran 'The 1st International Conference On Safe Biodegradable Packaging Technology (SafeBioPack2018)' | INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
» BERITA » Penganjuran 'The 1st International Conference on Safe Biodegradable Packaging Technology (SafeBioPack2018)'

Penganjuran 'The 1st International Conference on Safe Biodegradable Packaging Technology (SafeBioPack2018)'

CYBERJAYA, 24 Julai 2018 – Persidangan ‘The 1st International Conference on Safe Biodegradable Packaging (SafeBioPack2018)’ telah berjaya dianjurkan di MiGHT Partnership Hub, Cyberjaya, Selangor pada 24-26 Julai 2018. Persidangan ini turut dianjurkan bersama Malaysia Institute of Transport (MITRANS) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Parkside Flexibles Ltd., TESCO, Bangor University, Polycomposites (M) Sdn. Bhd., Scitech Adhesives Coatings, Nextek Ltd. dan Eco Premium Packaging (M) Sdn. Bhd. Penganjuran SafeBioPack2018 turut  mendapat sokongan daripada Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MiGHT), Newton-Ungku Omar Fund, Research Councils UK dan Innovate UK.

Tema persidangan ini adalah ‘Waste to Wealth’  yang memberi tumpuan kepada memanfaatkan sisa biojisim seperti sisa-sisa pertanian untuk digunakan dalam pembuatan pelbagai produk khusus untuk menghasilkan bahan pembungkusan yang selamat dan boleh terurai dalam tempoh masa yang sesuai. Selain itu, bahan buangan organik daripada industri turut diambil kira untuk dijadikan sebagai sumber  tenaga yang boleh diterima  dalam pemprosesan penghasilan kertas, bekas, filem plastik kompos, filem pembungkusan makanan dan pelbagai produk lagi. Industri kelapa sawit juga merupakan industri yang menyumbangkan penghasilan sisa dalam jumlah yang besar di Malaysia. Sebagai contoh, secara purata sebanyak 8.4 juta tan tandan  segar dan hampir 2.0 juta tan tandan kosong dihasilkan pada tahun 2017-2018.

Persidangan ini juga bertujuan menyediakan platform untuk membincangkan dan berkongsi maklumat mengenai teknologi pembungkusan. Menurut kajian, 40% kualiti makanan akan hilang sepanjang perjalanan untuk sampai ke pengguna dari pengusaha makanan yang berpunca daripada persekitaran cuaca dan kelembapan.

Di samping itu, isu pencemaran akan mengundang kepada berlakunya keracunan makanan yang berpunca daripada jangkitan mikroorganisma patogenik. Di United Kingdom, keracunan makanan dilaporkan berlaku kepada 500,000 orang setiap tahun. Oleh yang demikian, inovasi pembungkusan yang bijak adalah diharapkan dapat mengurangkan statistik tersebut dengan memastikan makanan dapat disimpan dalam tempoh yang lebih lama dan berkualiti baik apabila sampai ke pengguna.

SafeBioPack2018 telah berjaya mengumpulkan sejumlah 80 pakar dari seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, India, Australia, Maghribi, Arab Saudi, Chile, Tunisia dan Malaysia untuk berkongsi idea dan pengalaman.Sepanjang persidangan berlangsung, dua hari diperuntukkan untuk sesi pembentangan manakala pada hari terakhir peserta telah dibawa mengikuti lawatan teknikal di Parkside Flexibles Ltd. yang terletak di Shah Alam, Selangor. Jawatankuasa persidangan menerima maklum balas yang amat menggalakkan daripada para peserta yang berharap agar persidangan  ini diteruskan dalam masa terdekat.

Tarikh Input: 18/09/2018 | Kemaskini: 24/09/2018 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691880
0397691896
SXEZOAy~