INTROP, 9 Julai 2025 – Institut Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan WOBIC 2025 Pre-Conference Workshop bertajuk Thermal and Chemical Characterizations of Polymeric Materials, yang bertujuan memperkasa pengetahuan dan kemahiran peserta dalam penggunaan peralatan berteknologi tinggi untuk analisis bahan polimer. Bengkel ini merangkumi dua objektif utama: memberikan penerangan teori berkaitan peralatan ‘Thermogravimetric Analyzer (TGA), Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR), dan Thermogravimetric Analyzer-Infrared (TGA-IR)’ serta memberi peluang kepada peserta mengendalikan peralatan tersebut dan menganalisis data yang diperoleh. Bengkel ini adalah untuk membekalkan pengetahuan mendalam mengenai teknik pencirian bahan polimer dari sudut termal dan kimia, sekali gus meningkatkan keupayaan peserta dalam pemilihan bahan, pembangunan produk, dan penyelesaian masalah teknikal.

Dalam industri, penggunaan TGA, FTIR, dan TGA-IR amat penting untuk kawalan kualiti, penyelidikan dan pembangunan (R&D), penentuan jangka hayat produk, serta inovasi bahan baharu yang memenuhi piawaian keselamatan dan kelestarian. Peralatan ini digunakan secara meluas dalam sektor automotif, aeroangkasa, pembinaan, pembungkusan, elektronik, dan perubatan, di mana prestasi bahan polimer menjadi faktor kritikal kejayaan produk.

Dengan pembentangan oleh Prof. Madya Dr. Norizah Abdul Rahman dari Fakulti Sains UPM, yang membicarakan topik Thermal Characterizations of Polymeric Materials and Introduction to the Thermogravimetric Analyzer (TGA). Beliau menekankan kepentingan TGA dalam menentukan kestabilan termal serta sifat degradasi bahan polimer. Menurut beliau, pemahaman ini amat penting untuk memastikan pemilihan bahan yang
tepat, pengoptimuman proses pembuatan, dan jangka hayat produk. Dalam industri, analisis TGA digunakan secara meluas bagi kawalan kualiti, pembangunan bahan baharu, serta penilaian ketahanan polimer dalam aplikasi automotif, pembinaan, dan barangan pengguna.
Seterusnya, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah dari Fakulti Sains UPM membentangkan topik FTIR Analysis in Materials Chemistry. Beliau menjelaskan bagaimana penggunaan Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR) membolehkan analisis menyeluruh terhadap perubahan kimia yang berlaku pada bahan, termasuk semasa proses degradasi. Teknologi ini membolehkan penyelidik mengenal pasti kumpulan fungsi dan sebatian kimia yang wujud, memahami mekanisme tindak balas, serta menilai kesesuaian bahan untuk kegunaan tertentu.
Dalam industri, FTIR digunakan untuk kawalan kualiti, pengesahan bahan mentah, pembangunan formulasi polimer yang mesra alam dan berkualiti tinggi, selain menjadi alat penting dalam penyelidikan bahan termaju untuk sektor automotif, aeroangkasa, pembungkusan, dan perubatan.

Bengkel ini turut menampilkan sesi praktikal yang dikendalikan oleh Cik Choo Siao Yie dari Nexus Analytics, mewakili pihak industri. Peserta berpeluang mengendalikan sendiri peralatan TGA dan FTIR, sekaligus memahami secara langsung prosedur analisis dan interpretasi data. Menurut penganjur, bengkel ini menjadi platform penting untuk mempertemukan ahli akademik, penyelidik, dan pihak industri bagi berkongsi kepakaran serta teknologi terkini dalam pencirian bahan polimer. Ia juga diharap dapat meningkatkan kemampuan peserta dalam menjalankan penyelidikan dan aplikasi industri berasaskan bahan polimer secara lebih berkesan. Dengan pendedahan menyeluruh meliputi aspek teori dan praktikal, bengkel ini diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif, memperkukuh lagi kefahaman peserta terhadap teknik dan peralatan yang dibincangkan.
Tarikh Input: 19/08/2025 | Kemaskini: 19/08/2025 | amallina.osman

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia