Program Cuti Sekolah: 3D Printer | INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
» BERITA » Program Cuti Sekolah: 3D printer

Program Cuti Sekolah: 3D printer

SELANGOR, 6 Februari 2025 – Laboratori Teknologi Biokomposit, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) mencatat kejayaan dengan penganjuran Program Cuti Sekolah: 3D Printer yang melibatkan seramai 26 peserta dari Tingkatan 1 hingga 5. Program ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada peserta tentang teknologi pencetakan 3D serta penggunaannya dalam pelbagai bidang.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kreativiti dan inovasi peserta dalam bidang teknologi serta memberikan pendedahan kepada peserta tentang teknologi dan proses pencetakan 3D, memberikan pengenalan kepada perisian 3D Printing dan reka bentuk, memberi latihan praktikal dalam reka bentuk untuk pencetakan 3D dan memberi latihan praktikal kepada peserta untuk mencetak reka bentuk menggunakan pencetak 3D yang tersedia.

  

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program ini, termasuk sesi pengenalan kepada pencetak 3D dan bahan-bahan yang digunakan, di mana peserta diberikan pemahaman asas mengenai jenis pencetak 3D, teknologi yang digunakan, serta bahan seperti filamen PLA dan ABS.

Selain itu, peserta didedahkan kepada perisian Tinkercad untuk mereka bentuk objek mereka sendiri. Peserta turut dilatih menggunakan perisian slicer, seperti Creality, Ultimaker Cura dan PrusaSlicer, untuk menyediakan reka bentuk mereka sebelum dicetak. Mereka juga berpeluang mencipta dan mencetak model 3D sendiri, membolehkan mereka memahami keseluruhan proses dari reka bentuk hingga hasil akhir.

Program ini diakhiri dengan sesi refleksi dan penyampaian rantai kunci 3D bercetak khas sebagai cenderahati kepada semua peserta, sebagai tanda kenangan penyertaan mereka dalam program ini. Setiap peserta turut menerima sijil penyertaan sebagai pengiktirafan atas komitmen dan penyertaan mereka dalam program ini. Dengan kejayaan program ini, INTROP berharap dapat menganjurkan lebih banyak inisiatif seumpama ini pada masa hadapan bagi memupuk minat peserta terhadap teknologi dan inovasi, serta menyediakan mereka dengan kemahiran yang relevan dalam dunia moden.

 

Tarikh Input: 27/02/2025 | Kemaskini: 27/02/2025 | amallina.osman

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691880
0397691896
F, (05:50:22pm-05:55:22pm, 10 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]