PROGRAM JOM MASUK U 2024: UPM PERKENALKAN SMART DIGITAL NURSERY MONITORING SYSTEM | INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
» BERITA » PROGRAM JOM MASUK U 2024: UPM PERKENALKAN SMART DIGITAL NURSERY MONITORING SYSTEM

PROGRAM JOM MASUK U 2024: UPM PERKENALKAN SMART DIGITAL NURSERY MONITORING SYSTEM

Serdang, Selangor, 11 – 12 Mei 2024 – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjadi penganjur bagi Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024) Zon Tengah II anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tahun 2024 yang bertempat di Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM. Program tersebut dianjurkan adalah bertujuan untuk menggalakkan penyebaran maklumat mengenai pelbagai program pengajian yang ditawarkan oleh institusi-institusi di bawah KPT, termasuk Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK), dan juga melibatkan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA). Program JMU2024 ini telah menerima kehadiran pengunjung yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah dan institusi pendidikan tinggi khususnya yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi, STAM, dan Diploma/Setaraf.

Program yang berlangsung selama dua (2) hari ini telah menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran, ceramah, dan sesi interaktif.  Selain itu, memberi peluang kepada ibu bapa, pelajar sekolah, guru, dan orang awam untuk mendapatkan maklumat yang lengkap dan menyeluruh mengenai program-program yang ditawarkan oleh universiti-universiti dan kolej-kolej yang terlibat. Pameran dan sesi interaktif tersebut membolehkan peserta berinteraksi secara langsung dengan wakil-wakil institusi pendidikan, mendapatkan panduan mengenai pilihan pengajian, serta informasi penting.

Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) turut tidak melepaskan peluang sebagai pempamer dengan membuka booth dan memperkenalkan Smart Digital Nursery Monitoring System yang menggunakan IoT Technology. Inovasi pertanian ini selari dengan saranan Kerajaan agar memperkasakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan dalam semua bidang termasuk dalam bidang pertanian serta keterjaminan makanan.

Program ini diharap memberikan informasi tambahan kepada para pelajar untuk memilih UPM sebagai tempat untuk melanjutkan pengajian tinggi.

   

Tarikh Input: 04/07/2024 | Kemaskini: 05/07/2024 | amallina.osman

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691880
0397691896
F, (07:15:18pm-07:20:18pm, 08 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]