Program Lestari Wangsa (Pasca UASA) | INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
» BERITA » Program Lestari Wangsa (Pasca UASA)

Program Lestari Wangsa (Pasca UASA)

KUALA LUMPUR, 16 Januari 2025 - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Melawati sekali lagi mencatat kejayaan dengan penganjuran Program Lestari Wangsa (Pasca UASA) hasil kerjasama dengan Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) yang melibatkan seramai 150 pelajar dari Tingkatan 2 hingga 4. Program ini diadakan bagi memperkasa kemahiran pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kreativiti dan inovasi pelajar dalam bidang STEM dan kelestarian, menggalakkan kesedaran terhadap kepentingan kitar semula dan pemeliharaan alam sekitar, membangunkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) melalui aktiviti hands-on dan memupuk semangat kerjasama dan komunikasi dalam kalangan pelajar.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program ini, termasuk:

Pembuatan Jambatan Kertas: Pelajar diberi cabaran untuk membina jambatan menggunakan bahan asas seperti kertas A4 dan pita pelekat. Aktiviti ini bertujuan untuk menguji daya kreativiti dan kekuatan struktur jambatan yang dihasilkan. Cabaran ini memerlukan pelajar mereka bentuk jambatan yang boleh merentangi jarak tertentu dan menahan beban tanpa runtuh. Mereka perlu mempertimbangkan prinsip kejuruteraan seperti pengagihan beban, tegangan, dan mampatan semasa membina jambatan. Kriteria penilaian termasuk aspek estetik, kekuatan, dan penggunaan bahan secara berkesan. Semasa fasa ujian, jambatan yang dihasilkan diuji dengan menambah beban secara berperingkat untuk menilai ketahanannya. Pengalaman praktikal ini memberikan pelajar pemahaman yang mendalam tentang konsep kejuruteraan serta kemahiran menyelesaikan masalah, di samping menggalakkan pemikiran kritis dan kerja berpasukan.

 

Penghasilan Pokok Kokedama & Rekabentuk daripada Bahan Terbuang: Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari teknik tradisional Jepun dalam menghasilkan pokok kokedama, yang bukan sahaja menarik tetapi juga membantu dalam pemeliharaan alam sekitar melalui penggunaan bahan semula jadi. Dalam usaha menyemai kesedaran kitar semula, pelajar diberikan tugasan untuk menghasilkan produk kreatif daripada bahan buangan seperti botol plastik dan kotak kertas untuk dijadikan tapak atau pemegang pokok kokedama yang telah dihasilkan. Aktiviti ini diadakan bagi membangunkan daya kreativiti serta kepentingan kelestarian sumber.

Pembuatan Kertas Terpakai: Pelajar diajar proses kitar semula kertas terpakai menjadi kertas baharu yang boleh digunakan semula. Aktiviti ini memberi pendedahan kepada mereka tentang kepentingan mengurangkan pembaziran dan memelihara alam sekitar.

Pengetua SMK Wangsa Melawati dalam ucapan penutupnya menyatakan bahawa program seperti ini penting dalam mendidik generasi muda tentang kepentingan inovasi dan kelestarian. Program Lestari Wangsa berakhir dengan sesi penyampaian hadiah kepada kumpulan yang menunjukkan prestasi terbaik dalam setiap aktiviti. Dengan kejayaan penganjuran ini, diharapkan lebih banyak program bermanfaat dapat dilaksanakan bagi melahirkan pelajar yang lebih kreatif dan inovatif.

 

Tarikh Input: 10/02/2025 | Kemaskini: 10/02/2025 | amallina.osman

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691880
0397691896
F, (01:46:51pm-01:51:51pm, 06 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]