Program Pembangunan Hub Nanas Kuala Langat | INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
» BERITA » Program Pembangunan Hub Nanas Kuala Langat

Program Pembangunan Hub Nanas Kuala Langat

Kuala Langat, Selangor - Majlis pelancaran Program Pembangunan Hub Nanas Kuala Langat telah berjalan dengan jayanya pada 20 April 2019 di Balai Raya MPKK, Kampung Batu 10 Kebun Baharu, Telok Panglima Garang. Majlis ini dilancarkan oleh YB Dr. Xavier Jayakumar A/L Arulanandram, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, merangkap ahli parlimen Kuala Langat. Majlis ini turut disertai oleh Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Ts. Dr. Wahid Bin Razzaly, Pengarah Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Prof. Dr. Ahmad Ainuddin Nuruddin, Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Dr. Nor Kamariah Noordin, dan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM, Prof. Dr. Mansor Abu Talib.

Sekumpulan pakar yang diketuai oleh Prof. Madya. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Bin Hameed Sultan dengan kerjasama daripada Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalankan program “Development of Novel pineapple leaf fibre extraction machine for villagers from waste to wealth” yang membabitkan penduduk kampung daripada Komuniti Kampung Batu 10 Kebun Baru, Telok Panglima Garang. Program ini dijalankan selama satu tahun, bermula dari Mac 2018 sehingga Mac 2019 melalui geran Skim Pemindahan Ilmu UPM (KTGS) yang bernilai sebanyak RM 25,000.

Pada ketika ini, komuniti Kampung Batu 10 Kebun Baru terkenal dengan penanaman kelapa sawit dan nanas. Di kawasan ini sahaja, terdapat lebih daripada 20 ekar tanah yang ditanam dengan pokok nanas. Kebiasaannya, sisa daripada pokok nanas sering dihapuskan dengan cara dibakar atau dibiarkan sehingga busuk dan menyebabkan masalah kepada alam sekitar.

Kebiasaannya, daun nanas diproses secara manual, namun, proses ini memakan masa. Oleh itu, projek ini dijalankan untuk membina mesin pengekstrak daun nanas dan pusat komuniti pengestrakan daun nanas untuk petani dan penduduk kampung. Program ini diharapkan dapat membantu pengekstrakan serat daun nanas dengan lebih efisien dan menukar pembaziran sisa nanas kepada sumber pendapatan. Daun nanas yang diekstrak menjadi serat boleh menghasilkan produk yang lain. Dalam majlis ini juga, sebuah dron yang dihasilkan menggunakan komposite dari serat nenas telah diterbangkan oleh Malaysian Unmanned Drones Activist Society (MUDAS) yang juga telah menandatangani perjanjian projek bersama UPM.

Menurut Ketua Penyelidik daripada UPM, Prof. Madya. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Bin Hameed Sultan, program ini adalah berunsurkan pemindahan ilmu untuk disampaikan kepada golongan sasar dan boleh dimanfaatkan secara berterusan. Program ini memberi peluang kepada penduduk kampung untuk membina mesin pengekstrak serat daun nanas mini sekaligus membantu menjana pendapatan kepada komuniti. Program ini juga diharapkan untuk mewujudkan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar dengan mengitar semula daun nanas. Mesin yang telah siap difabrikasi merupakan hasil usahasama daripada penyelidik UPM diketuai oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Bin Hameed Sultan dan penyelidik UTHM yang diketuai oleh Prof. Dr. Yusri Bin Yusof.

Selain itu, penduduk kampung juga diberi tunjuk ajar berkaitan dengan teknologi membangunkan mesin dan kaedah menggunakan mesin. Memandangkan penduduk kampung telah dilatih untuk membina mesin tersebut, mereka juga mampu untuk membaiki dan melakukan penyelenggaraan mesin dengan sendiri.

 
     
   

Tarikh Input: 30/04/2019 | Kemaskini: 30/04/2019 | lufti

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691880
0397691896
SXETJAZ~