Program Hari Kesedaran Potensi (R&D) Industri Buluh Dan Khidmat Komuniti “Bamboo Blazer” Di Koperasi Kariah Masjid Kundur Ulu, Rembau, Negeri Sembilan (KOMASKU) | INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
» BERITA » Program Hari Kesedaran Potensi (R&D) Industri Buluh dan Khidmat Komuniti “Bamboo Blazer” di Koperasi Kariah Masjid Kundur Ulu, Rembau, Negeri Sembilan (KOMASKU)

Program Hari Kesedaran Potensi (R&D) Industri Buluh dan Khidmat Komuniti “Bamboo Blazer” di Koperasi Kariah Masjid Kundur Ulu, Rembau, Negeri Sembilan (KOMASKU)

REMBAU, 05 JAN - Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) bersama Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif mendekati komuniti dan industri perladangan buluh dengan menganjurkan Program Hari Kesedaran Potensi (R&D) Industri Buluh dan Khidmat Komuniti “Bamboo Blazer” di Koperasi Kariah Masjid Kundur Ulu, Rembau, Negeri Sembilan (KOMASKU) baru-baru ini yang telah di rasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Sembilan, Yang Berbahagia Dato’ Haji Ibrahim Bin Haji Abdullah. Ladang Buluh di KOMASKU menjadi pilihan kerana telah lama memiliki satu kawasan tanaman buluh daripada spesies betong. Semenjak tahun 2015 ladang buluh betong ini telah dijadikan tempat bagi mendapatkan sumber makanan bagi panda yang berada di Zoo Negara. Pihak Zoo Negara akan mengambil bekalan buluh betong di kawasan ini sebanyak dua kali seminggu bagi mengekalkan kesegaran buluh. Pihak KOMASKU juga turut memaklumkan bahawa hanya buluh betong di kawasan ini yang menjadi pilihan untuk di makan oleh panda tersebut.

 

Semasa aktiviti “Bamboo Blazer” berlangsung, seramai 60 orang peserta termasuk pelajar dan ahli KOMASKU telah menyertai program tersebut yang antara aktivitinya adalah seperti sesi penerangan dan perkongsian ilmu serta pameran berkenaan penyelidikan dan pembangunan buluh yang telah di jalankan oleh INTROP.  Menurut Pengarah INTROP, Prof. Ir. Ts. Dr. Khalina Abdan, sesi perkongsian ilmu tersebut merangkumi bidang Kultur Tisu Buluh, Asas Penanaman Buluh, Rawatan & Pembangunan Produk Buluh, Pengenalan Model Perniagaan Berasaskan Buluh dan Potensi Ekopelancongan setempat berdasarkan kawasan Ladang Buluh (KOMASKU). Malahan, penggunaan teknologi dan inovasi seperti Sistem Pemantauan Tapak Semaian Pintar menggunakan sistem Internet of Things (IoT) dalam penghasilan bahan tanaman buluh berkualiti juga turut diperkenalkan kepada peserta. Perkongsian ini adalah penting untuk mendedahkan dan mendidik peserta tentang potensi penggunaan teknologi dalam membantu meningkatkan kecekapan tugasan harian serta menggalakkan pembangunan penyelesaian inovatif untuk pengusaha dan pihak industri.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam dari 05 – 07 Januari 2024 ini juga turut melibatkan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong – royong membersihkan kawasan ladang buluh, inap desa dan masjid yang telah di lakukan oleh para peserta terutamanya pelajar. Para pelajar juga turut menjalankan aktiviti perkhemahan serta ikhtiar hidup didalam kawasan ladang buluh tersebut bagi memenuhi keperluan kursus berkredit mereka. Turut hadir ke program ini, wakil Pengarah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN Chembong), Pengerusi Bengkel IKS Koperasi Kariah Masjid Kundur Ulu Rembau Bhd., Haji Zubir Bin Jamal, Ketua Kampung Kundur Hulu, En. Ramadan Bin Mohd Taf dan Imam Masjid Ustaz Sofiyuddin Khalid.

Tarikh Input: 26/01/2024 | Kemaskini: 26/01/2024 | amallina.osman

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERHUTANAN TROPIKA DAN PRODUK HUTAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691880
0397691896
SXEdPAO~